Monday, March 14, 2016

Kekal dengan comfort zone atau dinamik dan reformasi? Bhg 2

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum wrt wbt

Dalam entri ini, aku akan menyambung perbincangan dari bahagian pertama. Bahagian ini akan aku gunakan untuk membincangkan kesan mindset ingin kekal dalam comfort zone berbanding menjadi dinamik kepada agama. Perlu diambil perhatian bahawa aku bukanlah membincangkan mengenai hukum atau yang sewaktu dengannya, tetapi lebih kepada sikap dan akhlaq. Aku harap pembaca sedia untuk membuka fikiran dan sudi untuk mengambil kira pandanganku.


Seperti yang aku nyatakan, sikap kebanyakan orang kita ialah ingin berada tetap pada comfort zone. Dalam erti kata lain, orang kita lebih suka dengan keadaan sedia ada dan tidak suka akan perubahan yang bersifat 180 darjah. Sikap seperti ini akan membawa kesan kepada hidup beragama seseorang. Comfort zone dalam perbincangan ini secara spesifiknya merujuk kepada amalan kebiasaan atau perbuatan berdasarkan adat turun-temurun. Hari ini kita dapat lihat ramai yang sudah mula cakna akan ilmu-ilmu agama. Ini adalah perkara yang baik dan harus ditekankan agar kefahaman mengenai agama itu bukan hanya di kalangan asatizah. Namun, sejauh mana kita bersedia untuk berubah mengamalkan ilmu-ilmu tersebut jika ternyata bertentangan dengan amalan adat turun-temurun kita? Jika kita tetap dengan mindset ingin berada dalam comfort zone, sia-sia sahaja ilmu yang kita ada. Jika sebaliknya, alhamdulillah. Tolong teruskan walau apa jua halangannya.

Salah satu contoh yang nyata salah di sisi agama ialah kebiasaan bersalam-salaman antara yang bukan mahram. Mungkin contoh ini nampak remeh lagi temeh. Mungkin jua sudah berkali-kali kita dengar atau baca mengenainya. Perkara ini telah disentuh dan secara jelas dinyatakan semasa khutbah solat sunat aidilfitri 1436H yang lalu. Dalam khutbah tersebut, dinyatakan secara jelas dan straightforward siapa mahram dan siapa yang bukan. Malangnya, khutbah hanya tinggal sekadar khutbah. Orang masih lagi dengan kebiasaan bersalam-salaman diantara bukan mahram. Di sinilah mindset ingin kekal dengan comfort zone atau dinamik memainkan peranan. Mungkin ramai yang faham dengan isi kandungan khutbah tersebut tetapi masih belum bersedia untuk berganjak dari comfort zone kerana beberapa faktor seperti malu, takut, tidak biasa dan sebagainya. Persoalannya sampai bila? Seru sudah sampai, hidayah sudah datang. 

Begitu juga dengan sikap orang kita yang sukar untuk mengubah amalan-amalan kebiasaan yang bersifat agama (yang bukan bersifat muamalah). Kaedah fiqh mengatakan 'asal hukum bagi suatu ibadah itu haram kecuali terdapat dalil yang membolehkan'. Maksudnya disini, ibadah mestilah dilakukan berdasarkan dalil. Maknanya, apa jua perkara yang bersangkutan dengan hubungan antara manusia dengan Allah mestilah berpandukan dalil. Apa yang menyedihkan ialah apabila suatu amalan itu jelas bertentangan dengan dalil yang jelas dan nyata. Lebih teruk, seseorang itu akan dilabel dengan berbagai gelaran jika tidak bersetuju dengan amalan tersebut. Kita selalu mengatakan Al-Quran dan Sunnah itu ikutan kita. Tetapi, apabila amalan adat kita bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, mengapa adat yang menjadi pilihan? Jawapannya ialah mindset yang ingin kekal dalam comfort zone. Jika kita berterusan dengan mindset seperti ini, maka kita akan kekal dengan keadaan sedia ada dan tidak bertambah baik. Contoh yang mudah ialah menutup aurat bagi wanita. Al-Quran secara jelas memperincikan garis panduan menutup aurat. Contoh yang lebih spesifik ialah tudung labuh. Ramai yang tidak mahu memakai tudung yang labuh dengan alasan tidak biasa dan bukan pakaian yang biasa dipakai oleh orang kita. 

Apa yang ingin aku sampaikan disini ialah sikap sebegini akan mencacatkan pegangan agama kita yang sepatutnya berpandukan rujukan yang sahih dan bukan mengikut kepala kita sendiri. Sekian perbincangan bagi kesan mindset ingin kekal dalam comfort zone kepada agama. Aku akan menyambung perbincangan ini di lain waktu, In Sya Allah. Jika ada sebarang kesilapan atau pandangan, mohon tegur aku dengan baik.

Marjan,
Brisbane,
14/3/2016


Saturday, March 12, 2016

Alhamdulillah...Aku kini berada di BumiRatu (Queensland)

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

15/2/2016..Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Pada tarikh ini, aku memulakan perjalananku bagi menyambung pengajian di peringkat Master di University of Queensland (UQ), Queensland, Australia. Ini adalah kali pertama buatku merantau ke negara yang jauh. Tambahan lagi, aku berseorangan dalam perjalanan tersebut. Perjalanan jauh sememangnya memenatkan lagi-lagi jika keadaan di dalam kapal terbang agak tidak selesa. Setelah sampai di lapangan terbang Melbourne (Tullamarine Airport), aku menunggu selama lebih kurang 6 jam bagi menaiki penerbangan tempatan ke Brisbane.

Setelah sampai di Brisbane, aku sangat bersyukur kerana ditemukan dengan insan-insan yang sungguh mulia dan baik hati. Segala urusan asas begitu mudah dan cepat dengan bantuan rakan senior. Pihak university juga sangat membantu dan mempunyai pengurusan yang efisien.

Kini, aku telah memasuki minggu kedua bagi semester 1. In sya Allah, aku akan berada selama 1.5 tahun disini. Aku mengharapkan doa dari semua agar perjalananku disini lancar dan dipermudahkan oleh Allah swt. Aku juga memohon doa dari semua bagi mendapatkan keputusan tahap distinction..Amiin.

Wassalam.
Marjan,
UQ, Queensland, Australia
12 Mac 2016

Tuesday, January 19, 2016

Merantaulah...

Merantaulah...

Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman.

Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang.

Tinggalkanlah tanahair dan mengembaralah.

Bermusafirlah, nescaya kamu akan mendapat ganti kepada orang yang telah kamu tinggalkan.

Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan.

Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang.

Singa jika tak tinggalkan sarang, tak akan dapat mangsa.

Anak panah jika tak tinggalkan busur, tak akan kena sasaran.

Jika matahari di orbitnya tak bergerak dan terus diam.

Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.

Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang.

Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan.

Jika engkau tinggalkan tempat kelahiranmu, engkau akan temui darjat mulia di tempat yang baru dan engkau bagaikan emas yang sudah terangkat dari tempatnya.

Pergilah merantau untuk mencari kemuliaan karena dalam perjalanan itu ada lima kegunaan, iaitu: menghilangkan kesedihan, mendapatkan penghidupan, mendapatkan ilmu, mengagungkan jiwa, dan dapat bergaul dengan banyak orang.

─ Imam Syafie
(Diwan as Syafiie)

Saturday, January 16, 2016

Isu semasa: Perletakan batu asas Jambatan Temburong



Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum wrt wbt

Sedikit mengenai isu semasa. Alhamdulillah, hari ini 16/1/2016, perletakan batu asas bagi Jambatan Temburong telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan. Dikatakan pembinaan jambatan tersebut dijangka mengambil masa selama 48 bulan (dijangka siap pada tahun 2019) dengan perbelanjaan sebanyak $1.6 billion.. Pembinaan jambatan itu akan menjadi lambang pemodenan Brunei secara besar-besaran. Antara perkara yang menarik ialah pembinaan jambatan tersebut akan dilakukan oleh gabungan kontraktor-kontraktor luar seperti dari China (aku akan update nama-nama kontraktor tersebut).

Pandangan ringkas mengenai projek ini berdasarkan info yang di'awam'kan. Pembinaan jambatan ini adalah salah satu cara untuk meningkatkan ekonomi negara. Dengan bertambah baiknya infrastruktur, pengangkutan dari satu tempat ke tempat lain akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa. Aktiviti ekonomi akan menjadi lebih efisien. Jika kelebihan ini dimanfaatkan, tidak mustahil akan menarik syarikat-syarikat luar untuk membuat Foreign Direct Investment (FDI) dan juga para pelabur asing. Ini akan membawa kepada manfaat-manfaat lain seperti 'knowledge transfer' dan 'technological transfer'.

Akan tetapi, kita juga harus berhati-hati dan sentiasa peka terutamanya pihak yang memantau. Isu keselamatan haruslah diutamakan sama ada ketika proses pembinaan jambatan mahupun setelah jambatan itu siap. Para pengguna jambatan itu nanti secara tidak sedar sebenarnya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada para jurutera, arkitek dan pekerja-pekerja kontraktor bahawa jambatan itu adalah 100% selamat untuk dilalui. Aku teringat mengenai jambatan di Pulau Pinang. Aku hanya berkesempatan untuk melalui jambatan pertama. Jambatan kedua adalah lebih panjang. Pensyarahku pernah berkongsi dalam status fb nya bahawa ketika sampai di bahagian tengah jambatan tersebut, beliau tidak nampak penghujung jambatan itu. Dengan keadaan dimana kita sedang berada di atas jambatan dibawahnya lautan, kita sememangnya bergantung dengan keteguhan jambatan tersebut. Perkara lain yang harus ditekankan ialah penggunaan dana pembiayaan oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik. Pihak yang bertanggungjawab haruslah memantau dengan teliti dan ketat agar tidak ada penyelewengan yang berlaku. Jika ini berlaku, sekurang-kurangnya material yang digunakan akan di'downgrade'kan dan menyebabkan risiko dari segi keselamatan. 

Sebelum aku mengakhiri entri ini, mari kita renungkan pengajaran yang boleh kita perolehi dair projek ini. Sebagaimana yang telah dinyatakan, kontraktor-kontraktor yang dilantik adalah dari luar negara. Ini bermaksud belum ada kepakaran dalam bidang ini di kalangan anak tempatan. Secara tidak langsung, ini juga bermaksud adalah FARDHU KIFAYAH kepada anak tempatan yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini untuk menjadi pakar terutamanya mereka yang beragama Islam. Mudah-mudahan projek tersebut akan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada negara umumnya dan rakyat khususnya. 


Sumber: Brunei FM

Marjan,
Brunei,
16/1/2015

Kekal dengan comfort zone atau dinamik dan reformasi? Bhg 1



"Menyusahkan sahaja sistem online ini. Lebih baik dengan cara dahulu yang menggunakan manual. Isi borang kemudian hantar."

"Kadang-kadang menyusahkan kalau segala-galanya menggunakan online. Kalau sistem down, sama saja guna yang manual."

Inilah antara perbualan yang tidak asing dalam orang kita. Perbualan diatas adalah perbualan yang aku nukilkan ketikan berada dalam satu majlis beberapa hari yang lalu. Ketika itu, kami sedang berbual mengenai suatu perkara dan aku telah mencadangkan untuk memanfaatkan sistem online database sebagaimana yang banyak digunakan pada hari ini. Kemudian, perbualan tersebut berlarutan sehingga menerbitkan dialog seperti diatas. Untuk makluman, aku adalah yang paling muda diantara insan-insan yang berada dalam perbualan tersebut.  Mereka yang lain adalah sebaya atau dalam umur yang lebih kurang sahaja. Manakala aku agak muda jika dibandingkan dengan mereka. Begitu juga dengan pendidikan dimana mereka telah meninggalkan alam pendidikan sekurang-kurangnya 5 tahun. Aku pula adalah generasi yang dalam kategori fresh graduate. Perbezaan ini aku nyatakan kerana perbezaan ini mempengaruhi cara berfikir kami. 

Perkara yang aku ingin sampaikan ialah pemerhatian yang aku buat dalam perbualan tersebut iaitu dari segi mindset/persepsi orang kita. Pemerhatian dalam masa yang singkat itu aku kaitkan dengan data-data berkaitan yang aku simpan dalam memori aku. Dengan tajuk yang aku buat iaitu comfort zone atau dinamik dan reformasi, aku dapati kebanyakan orang kita ini agak sukar untuk meninggalkan comfort zone dan berubah menjadi dinamik. Tidak dinafikan bahawa ini adalah perkara normal. Namun sampai bila kita hendak berada dalam keadaan ini? Sedar atau tidak, mindset seperti ini sebenarnya memberi kesan kepada banyak perkara.

Mari kita analisa perbualan yang aku nukilkan tadi. Aku akan cuba membuat analisis seadil yang mungkin. Sebelum aku mula, aku aka menerangkan secara ringkas mengenai perbualan itu berkisar tentang apa. Baik..salah satu dialog diatas ialah mengenai sistem online human resource iaitu sistem yang membolehkan para pencari kerja dan pihak majikan untuk berhubung sesama mereka melalui online. Para pencari kerja boleh memohon pekerjaan melalui sistem ini dan para majikan pula boleh mencari pekerja. Sistem atau kemudahan seperti bukanlah baru. Di negara jiran kita, Malaysia, JobStreet adalah salah satu contoh sistem yang serupa. JobStreet telah banyak memberi manfaat kepada para pencari kerja mahupun pihak majikan. Di peringkat antarabangsa, LinkedIn adalah media sosial professional yang tidak asing lagi. LinkedIn membolehkan para pengguna untuk memaparkan kelayakan dan kepakaran mereka. Cuma, di negara kita, perkara ini agak baru. Perbincangan mengenai kesan mindset tidak mahu berganjak dari comfort zone ini akan aku sambung di bahagian seterusnya. In Sya Allah aku akan membincangkan kesannya kepada agama, sosial dan ekonomi.

Marjan,
Brunei,
16/1/2016

Siapa Aku?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wrt wbt.

Sebelum aku mula menulis, ada baiknya aku memperkenalkan serba sedikit latar belakang diriku.

Nama yang diberi Mohammad Yazid. Sekarang aku berumur 23 tahun. Aku telah mula memasuki alam persekolahan seawal umur 3 tahun. Ketika aku berumur 10 tahun, aku telah memasuki sekolah Arab iaitu sekolah yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik. Pada waktu itu, sekolah Arab bukanlah sekolah yang popular dibandingkan dengan sekarang. Bahkan ada manusia-manusia yang memandang negatif kerana lepasan-lepasan sekolah berkenaan tidak mempunyai pilihan yang banyak dan hanya akan menjadi ustaz-ustazah di masa hadapan. Akan tetapi, lepasan-lepasan sekolah berkenaan telah mengubah anggapan tersebut. Akibatnya, sekolah itu bertambah popular pada masa ini dan menerima lebih ramai kemasukan pelajar jika dibandingkan dengan zaman aku dulu.

Berbalik kepada siapa aku, ketika aku menduduki peperiksaan PSR, alhamdulillah aku telah berjaya mendapat keputusan straight A. Ketika itulah bermulanya keputusan-keputusan penting yang harus aku buat dalam menentukan masa depanku. Aku harus memilih sama ada untuk meneruskan pendidikanku di sekolah berkenaan atau berpindah ke sekolah lain. Sememangnya ada insan yang mengesyorkan untuk aku berpindah ke sekolah lain bagi mendapatkan tahap pendidikan yang lebih baik. Akan tetapi, aku memilih sebaliknya dan meneruskan pendidikanku di sekolah Arab selama lebih kurang 8 tahun secara keseluruhannya (dari awal aku masuk sehingga aku berhenti).

Ketika aku berada di peringkat Pra Universiti 1 (Menengah 6 bawah), aku telah ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ditakdirkan kursus yang ditawarkan adalah kursus yang sememangnya aku inginkan. Aku mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut. Aku memilih untuk menyambung pelajaranku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula dari peringkat Asasi sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dengan pengkhususan dalam Ekonomi Islam. Semasa berada di Universiti inilah aku belajar bermacam-macam perkara sama ada di dalam kelas atau luar kelas. Dengan motto Taman Ilmu dan Budi, sememangnya Universiti ini penuh dengan taman-taman ilmu pada setiap masa. Alhamdulillah, setelah hampir 5 tahun berjuang, aku telah berjaya menamatkan pelajaranku dengan mendapat First Class Honours sekaligus merangkul dua anugerah di peringkat Kuliyyah (Best Student Kuliyyah Of Economics and Management Sciences [Overall]) dan Jabatan (Best Student Bachelor of Economics). Di samping itu, aku juga salah seorang graduan yang tersenarai dalam Senarai Rektor (Rector's List). 

Sekian mengenai serba sedikit latar belakang diriku. Mengapa aku hanya bercerita mengenai pendidikanku? Ya memang itu tujuanku. Bukanlah aku ingin merasa gah atau menunjuk-nunjuk. Tetapi jika kita lihat pada hari ini, seseorang itu akan dinilai kelayakan dan kredibilitinya dengan melihat latar belakang pendidikannya. Oleh itu, sebelum aku mula membincangkan isu-isu tertentu, ada baiknya untuk aku bercerita mengenai latar belakang pendidikanku. In Sya Allah, pendidikanku tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Aku akan meneruskan pendidikanku ke peringkat seterusnya pada masa terdekat. In Sya Allah.


Tangga Besar UIAM Gombak


Kampus UIAM Gombak 


Marjan,
Brunei,
16/1/2016



Friday, January 15, 2016

Alhamdulillah..15/1/2016 tarikh pembuka tirai

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah..hari ini aku men'create' blog ini setelah beberapa lama berhajat untuk berbuat demikian. In Sya Allah, aku akan belajar menulis dan menulis di blog ini secara konsisten. Aku akan menyentuh berbagai perkara termasuk agama, ekonomi, politik, sejarah, pemikiran dan ilmu. 

Aku menulis bukanlah untuk mencari nama, bukan jua untuk menunjuk-nunjuk. Aku hanya ingin berkongsi, mengasah pemikiran, melatih diri dan berhubung dengan masyarakat melalui medium ini. Mudah-mudahan akan bermanfaat bagi diri aku sendiri dan pembaca semuanya. Jika kamu merasa ianya baik, sebarkanlah. Jika sebaliknya, tegur aku dengan berhikmah. Doakan aku untuk konsisten menulis dan tegurlah jika ada sebarang kesilapan.

Marjan,
Brunei,
15/1/2016.