Saturday, January 16, 2016

Siapa Aku?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wrt wbt.

Sebelum aku mula menulis, ada baiknya aku memperkenalkan serba sedikit latar belakang diriku.

Nama yang diberi Mohammad Yazid. Sekarang aku berumur 23 tahun. Aku telah mula memasuki alam persekolahan seawal umur 3 tahun. Ketika aku berumur 10 tahun, aku telah memasuki sekolah Arab iaitu sekolah yang menggabungkan pendidikan agama dan akademik. Pada waktu itu, sekolah Arab bukanlah sekolah yang popular dibandingkan dengan sekarang. Bahkan ada manusia-manusia yang memandang negatif kerana lepasan-lepasan sekolah berkenaan tidak mempunyai pilihan yang banyak dan hanya akan menjadi ustaz-ustazah di masa hadapan. Akan tetapi, lepasan-lepasan sekolah berkenaan telah mengubah anggapan tersebut. Akibatnya, sekolah itu bertambah popular pada masa ini dan menerima lebih ramai kemasukan pelajar jika dibandingkan dengan zaman aku dulu.

Berbalik kepada siapa aku, ketika aku menduduki peperiksaan PSR, alhamdulillah aku telah berjaya mendapat keputusan straight A. Ketika itulah bermulanya keputusan-keputusan penting yang harus aku buat dalam menentukan masa depanku. Aku harus memilih sama ada untuk meneruskan pendidikanku di sekolah berkenaan atau berpindah ke sekolah lain. Sememangnya ada insan yang mengesyorkan untuk aku berpindah ke sekolah lain bagi mendapatkan tahap pendidikan yang lebih baik. Akan tetapi, aku memilih sebaliknya dan meneruskan pendidikanku di sekolah Arab selama lebih kurang 8 tahun secara keseluruhannya (dari awal aku masuk sehingga aku berhenti).

Ketika aku berada di peringkat Pra Universiti 1 (Menengah 6 bawah), aku telah ditawarkan bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Ditakdirkan kursus yang ditawarkan adalah kursus yang sememangnya aku inginkan. Aku mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut. Aku memilih untuk menyambung pelajaranku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bermula dari peringkat Asasi sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dengan pengkhususan dalam Ekonomi Islam. Semasa berada di Universiti inilah aku belajar bermacam-macam perkara sama ada di dalam kelas atau luar kelas. Dengan motto Taman Ilmu dan Budi, sememangnya Universiti ini penuh dengan taman-taman ilmu pada setiap masa. Alhamdulillah, setelah hampir 5 tahun berjuang, aku telah berjaya menamatkan pelajaranku dengan mendapat First Class Honours sekaligus merangkul dua anugerah di peringkat Kuliyyah (Best Student Kuliyyah Of Economics and Management Sciences [Overall]) dan Jabatan (Best Student Bachelor of Economics). Di samping itu, aku juga salah seorang graduan yang tersenarai dalam Senarai Rektor (Rector's List). 

Sekian mengenai serba sedikit latar belakang diriku. Mengapa aku hanya bercerita mengenai pendidikanku? Ya memang itu tujuanku. Bukanlah aku ingin merasa gah atau menunjuk-nunjuk. Tetapi jika kita lihat pada hari ini, seseorang itu akan dinilai kelayakan dan kredibilitinya dengan melihat latar belakang pendidikannya. Oleh itu, sebelum aku mula membincangkan isu-isu tertentu, ada baiknya untuk aku bercerita mengenai latar belakang pendidikanku. In Sya Allah, pendidikanku tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Aku akan meneruskan pendidikanku ke peringkat seterusnya pada masa terdekat. In Sya Allah.


Tangga Besar UIAM Gombak


Kampus UIAM Gombak 


Marjan,
Brunei,
16/1/2016



No comments:

Post a Comment