Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum wrt wbt
Dalam entri ini, aku akan menyambung perbincangan dari bahagian pertama. Bahagian ini akan aku gunakan untuk membincangkan kesan mindset ingin kekal dalam comfort zone berbanding menjadi dinamik kepada agama. Perlu diambil perhatian bahawa aku bukanlah membincangkan mengenai hukum atau yang sewaktu dengannya, tetapi lebih kepada sikap dan akhlaq. Aku harap pembaca sedia untuk membuka fikiran dan sudi untuk mengambil kira pandanganku.
Salah satu contoh yang nyata salah di sisi agama ialah kebiasaan bersalam-salaman antara yang bukan mahram. Mungkin contoh ini nampak remeh lagi temeh. Mungkin jua sudah berkali-kali kita dengar atau baca mengenainya. Perkara ini telah disentuh dan secara jelas dinyatakan semasa khutbah solat sunat aidilfitri 1436H yang lalu. Dalam khutbah tersebut, dinyatakan secara jelas dan straightforward siapa mahram dan siapa yang bukan. Malangnya, khutbah hanya tinggal sekadar khutbah. Orang masih lagi dengan kebiasaan bersalam-salaman diantara bukan mahram. Di sinilah mindset ingin kekal dengan comfort zone atau dinamik memainkan peranan. Mungkin ramai yang faham dengan isi kandungan khutbah tersebut tetapi masih belum bersedia untuk berganjak dari comfort zone kerana beberapa faktor seperti malu, takut, tidak biasa dan sebagainya. Persoalannya sampai bila? Seru sudah sampai, hidayah sudah datang.
Begitu juga dengan sikap orang kita yang sukar untuk mengubah amalan-amalan kebiasaan yang bersifat agama (yang bukan bersifat muamalah). Kaedah fiqh mengatakan 'asal hukum bagi suatu ibadah itu haram kecuali terdapat dalil yang membolehkan'. Maksudnya disini, ibadah mestilah dilakukan berdasarkan dalil. Maknanya, apa jua perkara yang bersangkutan dengan hubungan antara manusia dengan Allah mestilah berpandukan dalil. Apa yang menyedihkan ialah apabila suatu amalan itu jelas bertentangan dengan dalil yang jelas dan nyata. Lebih teruk, seseorang itu akan dilabel dengan berbagai gelaran jika tidak bersetuju dengan amalan tersebut. Kita selalu mengatakan Al-Quran dan Sunnah itu ikutan kita. Tetapi, apabila amalan adat kita bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, mengapa adat yang menjadi pilihan? Jawapannya ialah mindset yang ingin kekal dalam comfort zone. Jika kita berterusan dengan mindset seperti ini, maka kita akan kekal dengan keadaan sedia ada dan tidak bertambah baik. Contoh yang mudah ialah menutup aurat bagi wanita. Al-Quran secara jelas memperincikan garis panduan menutup aurat. Contoh yang lebih spesifik ialah tudung labuh. Ramai yang tidak mahu memakai tudung yang labuh dengan alasan tidak biasa dan bukan pakaian yang biasa dipakai oleh orang kita.
Apa yang ingin aku sampaikan disini ialah sikap sebegini akan mencacatkan pegangan agama kita yang sepatutnya berpandukan rujukan yang sahih dan bukan mengikut kepala kita sendiri. Sekian perbincangan bagi kesan mindset ingin kekal dalam comfort zone kepada agama. Aku akan menyambung perbincangan ini di lain waktu, In Sya Allah. Jika ada sebarang kesilapan atau pandangan, mohon tegur aku dengan baik.
Marjan,
Brisbane,
14/3/2016